Dec 19, 2009

apungan dalam mata

Apungan Dalam Mata = "Floaters in My Eyes"

Skrip untuk RTM 9.12.09:Dr Chieng Lee Ling, pakar mata Miri Hospital

Apa maksud apungan dalam mata?

Apungan dalam bahasa Inggeris dinamakan 'Floaters….'

Ramai dikalangan kita yang telah berumur atau rabun jauh sering mengadu tentang apungan dalam mata. Apungan dalam mata didefinasikan sebagai kelihatan benda hitam, yang terapung- apung dalam medan penglihatan seseorang. Ia boleh jadi dalam bentuk titik, bebenang, bentuk bulan sabit mahupun bentuk awan.

Ia bergerak ke atas bila pesakit pandang ke atas ,kebawah dan ke kiri dan sebagainya, ia adalah lebih nyata di tempat yang terang benderang atau bila pesakit melihat ke langit biru, atau dinding putih. Ia menjadi tidak ketara jika pesakit berada di tempat yang gelap atau malap.

Apa punca apungan mata?

Bola mata manusia bukan sahaja dipenuhi cecair, malah bahagian besarnya dipenuhi sejenis jelly atau agar2 yang jernih dinamakan GELEMACA…. Vitreous dalam bhs inggeris. Apabila terdapat kekeruhan gelemaca, pesakit akan mempunyai masalah apungan dalam mata.

a. Pada zaman muda, gelemaca adalah lutsinar dan dalam bentuk pepejal sepenuhnya. Jadi apungan jarang berlaku.

b. Pada umur 4 tahun pencairan gelemaca akan bermula.

c. Pada 14-18 tahun, 20% gelemaca telah menjadi cecair

d. Pada 40 tahun, Proses pencairan berlaku dengan kadar yang lebih cepat dan menyebabkan pemisahan gelemaca daripada retina berlaku pada umur ini. masalah apungan menjadi nyata

e. Pada 80 tahun, lebih daripada 50% gelemaca telah menjadi cair.

DUA Punca apungan mata yang paling utama ialah:

Satu;

Syneresis, iaitu akibat daripada proses penuaan gelemaca seperti yang disebut tadi. Bila kita menua, gelemaca akan bertukar kepada cecair secara perlahan-lahan. Ketidakseragaman proses ini menyebabkan pembentukan kekosongan dalam gelemaca pepejal yang dipenuhi cecair. Gumpalan sebegini akan bercantum sesama gempalan lain dan menyebabkan ketidak seragaman refracksi index gelemaca. Maka bila cahaya masuk ke dalam mata, ia membentuk bayang-bayang terapung pada retina dan dipanggil apungan. Keadaan Gelemaca tua merupakan punca paling lumrah apungan. Apungan jenis ini biasanya bentuk titik kabur kecil atau bebenang halus.

Kedua:

Posterior vitreous detachment. Punca yang kedua penting adalah juga disebabkan penuaan gelemaca. Apabila cecair mencapai satu kuantiti yang banyak, pepejal gelemaca akan mengecut dan bahagian belakang gelemaca akan terpisah daripada lapisan bawahnya iaitu retina.

Pemisahan gelemaca ini dipanggil Posterior vitreous detachment. Pemisahan ini menyebabkan pembentukan apungan dalam seseorang secara tiba-tiba. Biasanya berlaku pada umur 40 tahun ke atas. Apungan jenis ini lebih besar daripada gelemaca tua tadi dan boleh berbentuk apa saja, seperti bulan sabit, awan, nyamuk dan sebagainya

Jadi, apungan adalah tanda yang boleh diabaikan?

Tidak. Kadang-kala, apungan boleh menjadi tanda awal penyakit yang boleh membutakan.Seperti yang disebutkan tadi, jika seseorang mempunyai lapisan retina yang bermasalah seperti lemah atau nipis seperti lattice degeneration pada retina, retina boleh terkoyak bila berlakunya proses pemisahan gelemaca dan membawa kepada kelucutan retina. Seterusnya buta!

Bagaimana ini terjadi?

Apabila dipenuahi kuantiti cecair yang cukup banyak, penggerakan mata akan menarik retina semasa pemisahan gelemaca. Pautan kuat abnormal gelemaca pada retina boleh mengakibatkan Kekoyakan retina. Ini khasnya berlaku pada pesakit yang berretina lemah atau selepas kecederaan mata yang kuat. Cecair pada gelemaca boleh memasuki lubang retina yang pecah dan melucutkan lapisan retina.

Retina merupakan lapisan paling sensitive dalam mata ia bagaikan filem dalam sesebuah camera. Retina memerangkap cahaya, memproses menjadi isyarat dan dihantarkan ke otak melalui saraf mata. Kelucutan retina bermaksud kehilangan semua proses penglihatan ini.

Lapisan retina tidak memaut rapat kepada lapisan bawahannya. Daya kelekapan dihasilkan daripada daya pump ion yang lemah. Jadi retina sebenar boleh dikupas senang seperti memisahkan kertas minyak daripada kek keju. Maka kehadiran cecair dalam lapisan bawah retina dengan senang boleh menyebabkan kelucutan retina secara menyeluruh dan seterusnya kebutaan.

Adakah keadaan ini boleh diubati?

Ya, jika dikesan awal

kawasan pinggiran kekoyakan retina, boleh dilaser! Laser haba Argon 532nm digunakan untuk melekatkan retina dengan lapisan bawahannya. Prinsipnya seperti 'welding' yang dilakukan oleh tukang besi atau mekanik kereta ketika melekatkan papan besi. Prosedur adalah senang dan mengambil masa selama beberapa minit sahaja dan tidak perlu dimasukkan ke dalam wad. Jika sempat dibuat, penglihatan mata pesakit dapat diselamatkan.

KEKERAPAN: Sepanjang perkhidmatan saya di Hospital Miri sejak 2 tahun dahulu, terdapat lebih kurang 10-11 pesakit setiap tahun yang melalui laser ini di klinik Miri.

Jika tidak dikesan awal, pesakit akan mengalami tanda seperti

1. kabur penglihatan,

2. Seperti langsir menutupi medan penglihatan

3. Melihat denyutan kilat dalam mata walaupun mata ditutup.

Tanda-tanda ini menandakan proses kelucutan retina. Jika dikesan pada takat ini, pembedahan besar vitrectomy (pembedahan gelemaca) perlu dilakukan untuk melekapkan retina dan daya penglihatan pesakit selepas pembedahan selalunya tidak terang dan kurang menggalakkan.

Adakah punca-punca lain apungan?

Punca-punca lain termasuk:

1. Pendarahan dalam gelemaca.

a. kehadiran gumpalan sel darah merah manghalang ahaya daripada sampai ke retina.

b. Ini paling kerap Berlaku dalam kes penyakit kencing manis, dan keaadan proliferative retinopathy lain (sickle cell, CRVO) Pendarahan dalam gelemaca merupakan punca yang sangat penting pesakit kencing manis menjadi buta. Maka semua pesakit kencing mata diwajibkan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya setahun sekali walaupun tiada masalah pada mata mereka.

2. Keradangan Satu lagi punca apungan adalah disebabkan gumpalan sel darah putih…akibat proses keradangan mata seperti uveitis. Keadaan ini adalah bahaya dan boleh membutakan jika tidak diubati awal.

3. Apungan akibat pengumpulan element element seperti lemak, protein, calcium dsb. Ini boleh berlaku secara keturunan atau akibat pendarahan atau keradangan mata.

Bagaimana kita tahu sama ada apungan mata dialami adalah jenis yang membahayakan?

Mula-mula sekali , pastikan, ia betul betul apungan. Sering kali kekotoran pada kornea, seperti tahi mata, bendasing pada air mata boleh dikelirukan dengan apungan. Satu cara mudah unutk memastikannya ialah kelipkan mata. Masalah kerohan air mata akan hilang atau berubah dengan kelipan kelopak mata… tetapi Apungan pada gelemaca tidak akan berubah.

Apungan yang tidak bahaya merupakan apungan yang sedia ada, bertahun-tahun lamanya dan disebabkan syneresis atau vitreous detachment akibat penuaan gelemaca. Proses penuaan ini satu proses yang selamat dan berlaku semulajadi tidak perlu dibimbangkan.

Tetapi, apungan yang perlu diberi perhatian dan memerlukan pemeriksaan doktor mata termasuk

  1. Apungan yang berlaku secara mendadak, yakni bermaksud apungan yang muncul dalam masa lingkungan beberapa jam atau sehari dua…….
  2. Apungan yang berlaku sekali dengan kelihatan denyutan kilat semasa menggerakkan mata, atau kekaburan mata. Mana-mana tanda ini merupakan tanda bahaya kemungkinan berlakunya kelucutan retina.
  3. Apungan yang baru muncul selepas mengalaminya kian lama
  4. Apungan muncul selepas kecederaan (blunt trauma), Jatuh semasa sukan dan sebagainya.
  5. Apungan pada mereka yang berabun mata jauh (shortsighted) lebih daripada 600 degree juga dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan mata, kerana mereka mempunyai bola mata yang lebih panjang dan mempunyai retina yang lebih nipis di bahagian tepi dan banyak dari merekan mempunyai keadaan retina lemah seperti lattice degenerasi, yang amat cenderung kepada kelucutan retina.
  6. Pasakit yang mempunyai ahli keluarga mempunyai masalah kelucutan retina.

Untuk mereka yang mengalami apungan tidak bahaya, bagaimanakah mereka dapat menghilangkan apungan ini?

Buat masa ini tiada rawatan untuk syneresis atau Posterior vitreous detachment masalah ini. Tetapi mujurnya, masalah apungan selalunya tidak mengurangkan daya penglihatan pesakit dan akan bilangannya kerap menjadi kurang selepas beberapa bulan. Hampir semua pesakit dengan senang membiasakan diri dengan apungan ini selepas sebulan dua.

Jika apungan terlalu banyak dan tebal seperti dalam kes pendarahan atau keradangan mata, pembedahan vitrectomy boleh dilakukan iaitu, gelemaca akan dibuang secara pembedahan dan ruang kosong akan digantikan dengan cecair. Namun pembedahan mempunyai risiko yang tinggi dan mungkin mengancam ketajaman penglihatan pesakit kemudian hari.

Sebelum mengundurkan diri, ingin saya ulangi sekali lagi?

Apungan yang tidak bahaya merupakan apungan yang berlaku lama bertahun-tahun, tidak menambah dalam bilangan dan sedikit. (satu atau dua)

Apungan yang perlu pemeriksaan doktor:

  1. Apungan yang berlaku secara mendadak, yakni bermaksud apungan yang muncul dalam masa lingkungan beberapa jam atau sehari dua…….
  2. Apungan yang berlaku sekali dengan kelihatan denyutan kilat semasa menggerakkan mata, atau kekaburan mata.
  3. Apungan yang baru muncul selepas mengalaminya kian lama
  4. Apungan muncul selepas kecederaan (blunt trauma)
  5. Apungan pada mereka yang berabun mata jauh (shortsighted) lebih daripada 600 degree
  6. Pasakit yang mempunyai ahli keluarga yang mempunyai masalah kelucutan retina.
Ref: 1. Yanoff & Dukes Ophthalmology third edition. 2. Laser record Miri eye clinic 2008-2009

http://www.youtube.com/watch?v=1mMIVfZ0h0U video

3 comments:

  1. Chieng, were u up on tv? u didnt tell me?!

    ReplyDelete
  2. Dr Chieng , my right eyes having 'flooters', but i dont know which its happened suddenly or its happened for a long time without im notice bout it. and i just noticed bout this arround 3days ago when i was looking at white wall. I am worried and what kind of solution should i go for ?

    Please reply me at Najib_tbr87@yahoo.com a.s.a.p.
    Regards.

    ReplyDelete